Retorik: Impak Internet Menguasai Manusia - Glam Malaysia

Retorik: Impak Internet Menguasai Manusia

Media sosial dan masyarakat, dua entiti yang tidak boleh dipisahkan dalam kehidupan seharian masyarakat global masa kini. Mana tidaknya, kempen politik bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat global termasuk di Amerika Syarikat juga kini beralih ke media sosial daripada media arus perdana.


Itu secara umum memberi gambaran jelas betapa pentingnya media sosial pada masa kini. Namun, dalam tidak sedar, media sosial juga kini dilihat sebagai satu senjata baru yang mampu mengeruhkan situasi apabila fitnah dan maklumat palsu mudah disebarkan  sekaligus memberi satu tanggapan negatif mengenai sesuatu perkara.

Netizen satu istilah bagi seseorang yang sering berinteraksi dan menyuarakan aspirasinya  melalui media online. Berkomunikasi adalah aktiviti utama terutama kepada mereka yang dahagakan interaksi virtual. Media yang yang digunakan seperti blog, website, e-mail, chat, Skype, Facebook dan Twitter. Menyuarakan pendapat salah satu aktiviti daripada netizen ini. Kita bebas menyampaikan aspirasi kita secara objektif terhadap suatu peristiwa yang berlaku di dalam masyarakat.

Secara kasarnya, timbul satu budaya baru iaitu demokrasi virtual. Demokrasi virtual, bunyinya agak aneh, namun inilah trend masa kini. Di saat media arus perdana mula menunjukkan taringnya, arus informasi berkembang terlalu pesat. Kini, tidak lagi perlu bersusah payah membawa sepanduk bernada ketidakadilan kerana ia kini seolah-olah tidak lagi efektif. Media massa dan media online menjadi wadah baru dalam berdemokrasi.

See also
Epidemik Coronavirus

Kita perlu sedar bahawa maklumat yang diterima menerusi pelbagai medium media sosial ada yang fakta, auta (palsu) mahupun fitnah. Justeru, dalam menyebarkan maklumat yang diterima, netizen perlu membuat saringan maklumat. Jika anda menerima sebarang maklumat, pastikan ia benar, jika palsu, jangan sebarkan. Jika benar, anda perlu membuat saringan kedua. Anda perlu menilai, adakah ia bermanfaat, jika bermanfaat, sebarkan, jika tidak, proses itu terhenti di situ.

Bercakap berkenaan sumber, pelbagai sumber boleh diakses oleh netizen untuk mendapatkan maklumat. Tidak salah untuk mencari maklumat, namun pastikan maklumat itu adalah bermanfaat  untuk dikongsikan kepada netizen yang lain. Sumber yang sahih seringkali hadir daripada pengamal media dan pemimpin. Sumber maklumat adalah sesuatu yang diluar jangkaan, namun berbalik semula kepada penerima untuk membuat saringan maklumat yang diterima.

Saya akui, netizen ini ada kebaikannya. Perkongsian maklumat yang sahih pastinya memberi impak positif kepada kehidupan masyarakat. Namun, penyebaran maklumat palsu, fitnah dan sebagainya boleh mengeruhkan sesuatu perkara itu. Malah, maklumat palsu yang disebarkan netizen kadang kala menganggu proses siasatan pihak berkuasa terutamanya yang melibatkan prosiding perundangan.

Jika anda berani untuk menyebarkan sesuatu gambar yang anda rasakan bakal mendapat kencaman netizen, anda perlu berani menghadapinya. Isu ini dilihat sebagai subjektif. Mengapa berani melakukan perkara sebegitu sebaliknya takut untuk berdepan kecaman. Kritikan di media sosial sukar dikawal. Justru, sebaai pengguna media sosial, elakkan daripada memuatnaik gambar mahupun status yang bakal mendapat kencaman umum, ‘Think before you click’.

‘Silap’. Perkataan yang biasa diungkap seseorang setelah menyedari kesilapan yang dilakukannya. Bagi saya, mudah ahaja. Jika berlaku kesilapan, buangkan ego, muat naik status terbaru yang memaklumkan anda silap dan pastinya langkah itu dilihat lebih matang berbanding daripada anda melatah. Kepada netizen yang suka mem’viral’kan kesilapan orang lain, apa kata anda sebarkan pembetulan mahupun permohonan seseorang itu daripada terus menyebarkan usur negatif. Hidup dalam dunia maya, pastinya memerlukan keberanian. Mengapa saya katakan begitu? Ini kerana di dalam dunia maya ini, pelbagai perwatakan manusia akan anda temui. ‘Keyboard warriors’, istilah yang tidak asing lagi dalam dunia maya terutama melibatkan entiti politik. Namun, dalam dunia hiburan, ‘keyboard warriors’ lebih memfokuskan  untuk ‘menghentam’ selebriti walaupun perkara yang dilakukan oleh artis itu adalah sesuatu yang positif. Mereka ini seringkali mencari kesalahan. Kadang kala mereka juga dikencam kerana mengkritik perkara yang tidak tentu hala. Berbalik kepada pokok pangkal yang saya katakan tadi, keberanian harus ada. Kecaman itu akan datang dalam pelbagai bentuk.

See also
Datin X: Suami Lari Dengan Kawan Baik Anak Sendiri

Salah tafsir. Isu ini seringkali berlaku di media sosial terutama melibatkan  selebriti kerana mereka merupakan public figure. Mata netizen tertumpu kepada mereka. Sebagai selebriti, adalah lebih baik  untuk menolak ego mereka ke tepi jika mereka sedar bahawa berlaku kesilapan terhadap status mahupun gambar yang dimuat naik oleh mereka. Tidak perlu salahkan sesiapa. Selebriti yang menolak egonya ke tepi akan lebih dihormati peminat sekaligus sesuatu isu itu tidak akan berlanjutan yang akhirnya akan memberi imej yang positif kepada selebriti itu.

Jika anda menyedari ada sesuatu yang salah dimuat naik oleh seseorang, tidak salah untuk anda menegur. Awas! Teguran dan kritikan adalah sesuatu subjek yang berbeza. Teguran dibuat dengan ayat yang tersusun, merendah diri dan penuh dengan fakta. Sebaliknya, kritikan adalah ayat yang berbentuk negatif dan nada yang tinggi. Walaupun kritikan yang diberi itu sesuatu yang fakta, namun cara yang salah menggambarkan tahap kematangan sebenar si ‘penegur’ itu.

Penyaringan maklumat yang diterima perlu dipupuk dalam kalangan netizen kerana ramai yang beranggapan netizen pada usia muda ini masih belum cukup matang  dalam menilai sesuatu perkara mahupun membuat sesuatu keputusan. Namun, perlu sedar, ada pihak yang sengaja menyebarkan sesuatu yang negatif, palsu dan fitnah demi kepentingan. Justeru, masyarakat perlu lebih prihatin dalam ‘kehidupan’ di dunia maya ini.

See also
Retorik: Komersialisasi Fesyen Global
Oleh: Harits Asyraf Hasnan
Harits Asyraf Hasnan merupakan wartawan penyiaran di salah sebuah stesen televisyen tempatan, gemar membaca tidak kira medium sama ada akhbar, artikel online termasuk buku dan majalah. Jika anda mahu berkongsi sebarang pandangan, sila e-mel kepada suzieadnan@bluinc.com.my

*Artikel ini disiarkan dalam GLAM edisi Febuari 2016