Korner Mak Datin: Ilmu Hitam Memakan Diri. Tundukkan Bos, Pikat Suami

Korner Mak Datin: Ilmu Hitam Memakan Diri. Tundukkan Bos, Pikat Suami

DatinX12Gambar: Arkib GLAM

 
“Aduh, sedap sungguh Mak Siti urut. Lama betul badan ini tak di’servis’. Habis lenguh-lenguh badan hilang. Nak tambah sejam lagi boleh tak Mak Siti?” Alia bertanya kepada makcik tukang urut yang baru dikenalinya beberapa bulan. Mak Siti ini diperkenalkan Aunty Zainab jiran emaknya sewaktu dia masih dibangku sekolah rendah lagi. Terserempak di mal Empire, Subang Jaya sewaktu membeli groceries di Cold Storage Alia mengambil peluang bersembang panjang dengan Aunty Zainab di café Whisk sambil minum kopi. Banyak hal yang mereka bualkan almaklumlah sudah lama tidak berjumpa Aunty Zainab yang akrab dengan arwah mak Alia juga turut sedih mengimbau kisahnya dengan arwah. Mereka berdua memang rapat lebih-lebih lagi sering bersama mengikuti kuliah di masjid-masjid sekitar Taman Tun, Bangsar dan Damansara. Biasalah apabila sudah tua Aunty Zainab mengadu badannya yang sudah tak kuat lagi. Katanya pada Alia dia sudah tidak boleh berjalan lama-lama. Kalau ke mal beli mana yang penting sahaja dan boleh dikatakan setiap masa ditemani anak atau cucu.
 
Hari itu Aunty Zainab ditemani cucu lelakinya yang berusia 20 tahun dan tengah bercuti ‘semester break’. Dia yang muda tiga tahun daripada arwah mak kini sudahpun berumur 70. Jadi bila bercerita soal kesihatan, tubuh lenguh sana sini terkeluarlah nama Mak Siti. Kata aunty Zainab, Mak Siti pandai urut. Semua anak perempuannya berurut dengan Mak Siti semasa dalam pantang. Apalagi Alia yang memang tak boleh dengar ada orang pandai mengurut teruja minta diperkenalkan aunty Zainab. Memang sejak zaman bujang lagi, Alia suka mengajak tukang urut datang rumah. Paling lama dia boleh ‘pergi’ tanpa diurut mungkin dalam dua minggu. Kawan-kawan pun dah faham sangat sampaikan ramai yang gemar menumpang sekali bila Alia panggil tukang urutnya datang rumah.
 
Dengan Mak Siti, Alia berasa sungguh seronok. Selain pandai berurut, Mak Siti orangnya ramah. Dia suka bercerita dan berjenaka sampaikan tidak kering gusi dibuatnya. Sambil jari-jemarinya mengurut, Mak Siti tidak berhenti bercerita mengenai kisah lampaunya semasa dia muda-muda dulu. Antaranya, cerita sewaktu dia mulai menerima ‘anugerah’ mengurut. Bagaimana dia rasa bertuah menjadi insan terpilih hingga dipanggil orang besar-besar untuk mengurut, dari VVIP hingga ke royalty. Tetapi apa yang membuat Alia hormat dan suka pada Mak Siti adalah kerana Mak Siti tidak suka bercerita perihal orang lain. Walaupun mulutnya bising tetapi dia seboleh-bolehnya tidak mahu mengumpat cerita orang tidak tentu pasal. Tetapi sekali-sekala terkeluarlah juga tetapi kebanyakkannya mengenai hal yang baik-baik sahaja.
 
Mak Siti tidak lokek pujian. Katakan kalau ada anak pelanggan yang diurutnya pandai belajar, dapat A berderet masa periksa dia pun turut tumpang bangga bercerita. Alia juga antara pelanggan yang disukainya apatalah lagi Alia ini pemurah orangnya. Dia suka memberi. Ada-ada saja buah tangan yang dihulurkan kepada Mak Siti setiap kali dia pulang dari luar negara. Alkisahnya, sambil seronok melayan Alia bersembang entah macam mana Mak Siti terkeluar cerita yang dia boleh menilik orang. Dan entah kenapa hari itu Alia beria pula memujuk makcik tukang urut itu agar ‘scan’ dirinya. Awalnya Mak Siti agak keberatan tetapi apabila dipujuk berkali-kali dia tewas juga dengan pujukan Alia. Usai berurut, Mak Siti pun bangun berjalan menuju ke dapur. Dia kembali dengan beberapa bahan antaranya halia hidup. Entah apa dibacanya, lalu dipotong halia itu dan dicalitkan ke atas beberapa sudut bahagian tubuh Alia. Air muka Mak Siti tiba-tiba berubah. Katanya pada Alia, “Kau baik-baik nak… ada orang di pejabat yang dengkikan kau. Dia nak jawatan kau tu. Orang tu sanggup berbuat apa saja asalkan hajatnya sampai. Dia nak kau mati.”
 
Alia yang tadinya ceria, tiba-tiba berubah jadi serius. Hatinya cuak. Hmm… betulkah begitu? Meski dia tidak mahu percaya hal yang dianggap karut tetapi dalam pada enggan mempercayainya, tidur Alia sudah tidak nyenyak sejak dia pulang berurut.Setiap kali dia cuba menepis bayang-bayang ketakutan itu setiap kali itu ada ‘suara’ yang seolah-olah mahu dia mempercayainya. Akhirnya dia beralah juga dengan ‘suara’ yang menyuruh dia memikirkan hal yang dikatakan Mak Siti itu dengan lebih serius.
 
Seminggu kemudiannya, Alia pergi menemui Mak Siti lagi. Dia minta Mak Siti ‘tengokkan’ siapa orang yang dengkikannya itu. Kata Mak Siti, pergilah bertemu dengan orang yang lebih berilmu dalam hal-hal sebegini. “Maksud Mak Siti, bomoh?” Mak Siti sekadar mengangguk, memberitahu yang dia cuma dapat membantu dalam kes-kes kecil saja. Kata Mak Siti lagi, Alia perlukan pendinding yang kuat dan boleh saja kembalikan sihir yang dihantar. Itu semua terpulang pada diri. “Kalau mahu, mari Mak Siti kenalkan kepada si Brahim ni. Kuat bomohnya… menjadi! Ada satu orang tu, terkena santau. Brahim ni tolong balikkan santau tu, tak pasal-pasal yang menderitanya orang belah sana. Padankan muka!” Alia pun tidak fikir panjang lalu berkata ya.
 
Sampai hari yang dijanjikan untuk berjumpa Pak Brahim, Alia berasa berat hati. Lalu dia menelefon ibu saudaranya meminta pendapat. “Biasalah dunia perniagaan. Pasti ada yang hati busuk. Bila dengki sikit, guna ilmu hitam. Ada masalah sikit, minta tolong bomoh. Bukan mahu fikir dosa pahala. Itu semuakan syirik. Kalau mati esok, macam mana? Alia, you don’t be like them. Allah berkuasa atas segala sesuatu. Minta tolong pada Allah. Bukan pada bomoh! Kalau betul ada orang hantar sihir, biarkan dia. Allah akan uruskannya. Apa yang boleh kita lakukan adalah berdoa pada Allah. Banyakkan bersolat. Bangun malam buat Tahajud, buat solat Hajat,” begitu nasihat ibu saudara Alia di hujung telefon. Langkah Alia terhenti tatakala selesai perbualan telefon itu. Alia duduk seketika untuk menimbang baik-baik antara nasihat ibu saudara dan kata hatinya. Alia akhirnya ambil keputusan untuk tidak ke rumah Pak Brahim. Telefon Alia berdering beberapa kali. Mak Siti menelefon tanpa henti. Alia sekadar membalas mesej mengatakan dia perlu melayani saudara-mara yang kebetulan datang dari jauh.
 
Sebulan selepas itu, ada ketikanya, Alia memerhati sekeliling pejabatnya. Kalau betul apa yang dikatakan Mak Siti, siapakah gamaknya yang sanggup cuba menyihirkan dirinya? Fikirannya kembali runsing bila Mak Siti menelefon bertanya khabar. Setelah beberapa kali berbalas mesej, Mak Siti mengingatkannya supaya tidak makan apa-apa makanan yang diberi orang dan jangan tinggalkan makanan tanpa diawasi.
 
Lama dia termenung sehinggalah lamunannya dikejutkan oleh cleaner pejabat. Tanya cleaner itu, kenapa sudah berminggu-minggu tong sampah dalam bilik ini kosong. Manakah sampahnya? “Eh, saya masuk ofis setiap hari. Mesti sudah banyak sampah yang dibuang. Jadi tak mungkin tak ada sampah!” Cleaner itu tidak menjawab tapi dahinya berkerut kehairanan.
 
Aneh. Alia sudah rasa lain macam. Dia tak puas hati lalu meminta sekuriti pejabat mengeluarkan pita CCTV sekitar pejabat. Peluh sejuk mulai membasahi dahi Alia. Walau bilik sekuriti membahang panasnya, Alia bertegas mahu menonton pita-pita tersebut. Dengan penuh sabar ditiliknya dari satu ke satu. Sampailah ke suatu saat apabila dia ternampak salah seorang pengurusnya memasuki biliknya pada awal pagi. Buat apa datang kerja pukul tujuh pagi? Diperhatikan pengurus itu datang menyelinap masuk dan menyelongkar tong sampah di bawah mejanya, kemudian membungkus semula dalam plastik lain untuk dibawa keluar. Entah apa yang dikutipnya. Kejadian yang sama berulang beberapa kali selama dua minggu. Dia terkedu seketika.
 
Tapi… Yusliza nampak baik sungguh orangnya. Walau pun sudah masuk kerja lebih setahun, dia tidak menyerlah. Sering tenggelam berbanding dengan pengurus-pengurus lain yang setara dengannya. Yusliza bertudung litup, mulut manis, tak cakap banyak; mungkin low self esteem. Tapi sebab tak cakap banyak itulah, dia seringkali menjadi bahan makian bos-bosnya.
 
Alia tidak puas hati. Mahu menelefon Mak Siti, hajatnya terbantut. Dia tidak mahu lagi terjerumus dalam perkara yang mendekatkannya kepada kemungkaran. Lalu dipendamkan saja kejadian yang disaksikannya. Fikir Alia, pengurus itu mesti orang yang dimaksudkan Mak Siti, yang mahu menyihirkannya akibat dengki. Keesokannya, Alia mengajak beberapa kenalan baiknya dari syarikat sama untuk keluar makan tengahari. Dia mahu mengenali siapakah sebenarnya Yusliza. Bila disiasat dalam-dalam, rupa-rupanya Yusliza ada sejarah hitam. Tempat kerja lama ditinggalkannya dengan penuh tanda tanya.
 
Khabarnya Yusliza dulunya lama betul membomohkan suaminya. Kata orang, sejak zaman bercinta lagi. Suaminya seperti orang bodoh mengikutkan saja isterinya. Gaji suaminya saban bulan diserahkan padanya bulat-bulat sehinggakan si suami terpaksa menadah tangah meminta pada isteri buat duit belanja. Si suami juga takut-takut untuk pulang ke rumah ibunya. Kasihan ibu mertuanya tidak merasalah duit daripada anak lelaki. Pulang raya jauh sekali. Mereka akan beraya di kampung Yusliza seminggu dan hanya singgah di kampung suami sebentar saja. Itu pun singgah di dalam perjalanan balik ke Kuala Lumpur semula. Khabarnya ibu mertuanya sudah terlalu kecil hati dengan anak lelaki yakni suami Yusliza. Menurut cerita adik beradik lain, adakala hampir saja ibunya menyumpah anak tetapi namanya juga ibu tentu saja dia tidak tergamak mendoakan yang tidak baik pada anak sendiri.
 
Pernah sekali si ibu mahu meminta duit tetapi si anaknya memberitahu dia tidak ada duit walau sesen pun. Luluh hati ibu mendengar kata-kata itu. Yusliza sendiri banyak kali menyindir ibu mertua di depan suaminya dan pernah sekali dia mengherdik ibu mertua kerana sibuk menjaga tepi kain keluarganya. Sejak daripada itu, ibu mertuanya sudah tidak benarkan Yusliza menjejakkan kaki ke rumahnya. Cerita orang yang agak rapat dengan keluarga suami Yusliza, si ibu asyik berendam air mata mengenangkan nasib anak lelaki tunggal. Doa ibu akhirnya dimakbulkan Allah.
 
Suatu hari suaminya sepertikan terjaga daripada tidur yang panjang. Sihir Yusliza yang sudah haus itu tidak mampu lagi menahan ‘bantuan’ dan perisai ‘doa’ daripada ibu dan ustaz pengamal ilmu alternatif Islam yang dihantar oleh saudara-mara suami tersebut. Cepat-cepat suami itu diculik ahli keluarga mereka untuk disedarkan semula.
Bila suami kembali waras, dia tidak ubah seperti burung yang dilepaskan keluar dari sangkar. Tanpa berlengah lagi, dia terus menjatuhkan talak. Dunia Yusliza menjadi gelap. Dia seperti orang hilang akal. Dia cari balik bomoh lamanya tapi hatinya hampa apabila dia mendapat tahu yang orang itu sudah meninggal dunia. Lalu dia mencari pengamal ilmu hitam lain, minta diikat balik suaminya namun semua usahanya gagal. Bekas suaminya terus menghilangkan diri dan hilang lenyap begitu saja. Berbulan juga dia juga menjejak mencari suaminya tetapi malang semua usahanya tidak berhasil. Suaminya tidak lagi berkerja di tempat lama dan mahu pulang ke rumah keluarga bekas suaminya dia tidak berani. Tambah parah anaknya juga dilarikan suaminya. Yusliza seperti tidak dapat menerima hakikat yang dia sekarang terpaksa belajar balik untuk hidup sendiri. Mahu pergi kerja pun seperti tiada bersemangat. Bila asyik ambil cuti, Yusliza terpaksa berhenti kerja. Jiwanya sungguh bercelaru memikirkan dirinya yang kini sudah bergelar janda. Seperti jatuh ditimpa tangga, nasib Yusliza semakin parah. Wang simpanannya habis kerana membayar upah kerja-kerja jahatnya. Kereta kena tarik, rumah hampir-hampir dilelong.
 
Dengan tidak semena-mena, Yusliza pula jatuh sakit. Entahlah jika sakitnya disebabkan tekanan akibat patah hati atau pun disebabkan ilmu hitam yang memakan diri. Atas nasihat orang, setahun kemudian, Yusliza kembali membina kehidupannya dengan mencari kerja baru. Kerja baru yang dimaksudkan adalah di pejabat Alia. Sungguh Alia menyesali mengambil wanita itu berkerja. Walau Yusliza tak layak, dia ambil juga atas dasar kasihan dan mahu memberi peluang setelah mendengar cerita ‘drama’ yang dikarang Yusliza mengenai dirinya yang dianiayai suami. Setelah tahu semua cerita Yusliza, Alia termenung panjang. Dia tidak tahu apa langkah yang perlu diambil sekarang. Dia juga tidak tahu bagaimana hendak memberhentikannya bimbang kalau-kalau Yusliza tahu dia akan’memperhebatkan’ usahanya untuk menyihirnya. Tetapi Alia tahu dia perlu berbuat sesuatu sekarang. Dia tidak mahu menjadi mangsa khianat orang.
 
 

See also
Seks Bikin Anda Langsing – Bahagian 2