Korner Mak Datin: Datuk Lemah Batin, Datin Gian Bergirlfriend! - Glam Malaysia

Korner Mak Datin: Datuk Lemah Batin, Datin Gian Bergirlfriend!

KornerMakDatin

Gambar: Arkib GLAM


 
Seperti yang diceritakan  oleh Datin Julia
 
Prangg!!! Pecah berderai pinggan yang terhidang di meja, dicampaknya ke lantai. “Jangan salahkan aku, jika aku jadi balik jantan macam dulu-dulu… nanti kau juga yang malu nanti,” jerit Datin Azreen yang pagi-pagi lagi sudah naik hantu. Rasa geramnya dengan Datuk Razali dari semalam masih lagi belum hilang lagi. Sudah hampir dua tahun berkahwin, Azreen makan hati berulamkan jantung.
 
Tidak ada niat mahu membuka aib suami kerana hakikatnya, Datuk Razali jutawan baik hati. Tetapi sayangnya bila di ranjang, orangnya pentingkan diri, hanya mahu dia sahaja yang memberi, sedangkan dia hanya beberapa minit sahaja sudah kata berhenti dan rasa puas sendiri. Membiarkan si isteri masih terkapai-kapai, tidak sampai klimaks lagi. Datuk Razali mampu bagi Amex black card kepada Azreen dan tak pernah menyoal apa yang dibelinya. Tetapi kalau pasal nafkah batin, begitu berat sekali nak bagi sampaikan dalam seminggu pun jarang-jarang sekali.
 
Dia suami yang tak pandai menjaga hati isteri, cakap sesuka hati, suka komplen isterinya itulah, inilah…
 
Pernah perli Razali, “You ni tak reti sapu losen ni… padanlah kulit kasar macam kulit biawak.” Isteri mana yang tidak merajuk mendengarnya. Bukan itu sahaja, ada yang lebih pedih lagi dari itu lagi. “Apa you ni! Kuat benar makan… bawa-bawa beringat. Badan you tu dah makin gemuk, nampak ‘bagak’, besar macam jantan!” Aduh, berdesing telinga Azreen mendengarnya. Kalau bukan suami sudah lama kena lesing.
 
Inilah lelaki. Buruk orang perempuan sahaja yang dia nampak, diri sendiri tak pula sedar. Mereka juga ada perangai busuk. Dari dulu lagi Azreen teringin sangat melihat suaminya tidur memakai boxer, tetapi kata Razali, dia tidak selesa. Dia suka berkain pelikat, malah mahu berasmara pun bawah kain pelikat pun jadilah. Entah bagaikan penyakit pula, bila di ranjang Datuk memang jenis kuat membuang angin. Kemudian dikibas-kibasnya kain ke arah isterinya yang tidur di sebelah maka bertebaranlah aroma busuk menusuk ke hidung isteri. Naik pening Azreen menahan bau, Datuk Razali tergelak besar geli hati seronok benar melihat gelagat isterinya menutup hidung . Bagi Razali, itu romantik caranya tetapi biadap pula bagi si isteri. Muak, geli, meloyakan; itu antara perasaan yang dipendam Azreen setiap kali diajak bersama. Bila dia menegur suami dengan cara baik, langsung tidak dihiraukan. Malah Azreen disuruhnya diam sambil menutup telinganya dengan bantal.
 
“Sabar Datin… tak elok macam ni. Bila panas hati sahaja nak pecahkan barang. Kata orang, itu petanda nak papa kedana,” nasihat Bibik Esah yang sudah bekerja dengan Azreen hampir tiga tahun dengan nada cukup lembut. “Arghhh… bibik, saya peduli apa? Sebab mengikutkan cakap oranglah, hidup saya jadi macam ini. Niat baik nak kahwin sebab nak berubah menjadi wanita mithali, supaya ada suami menjadi pembimbing tapi apalah malang nasib saya. Dapat suami mulut jahat, layanan pun kurang…” ujar Azreen sambil Bibik mengangguk tanda faham. Berlari naik ke bili, Azreen menyellongkar walk-in-wardrobenya, mencari sepatu kanvas Gucci lama yang menjadi kesayangannya. Berjurai-jurai air mata jatuh di pipinya, Azreen nekad mahu keluar mencari ketenangan jiwa. Sudah semestinya dia akan kembali mencari Sherry, si kekasih hati yang padanya satu-satunya insan yang mengerti naluri lelakinya.
 
Zaman sekolah menengah, Azreen menerima julukan ‘cat dinding’ di kalangan teman-temannya. Dia anti lelaki tetapi tertarik pada teman-teman kaum Hawa. Ejekan rakan sekelas kepadanya adalah ‘lesbiola’-bahasa Indonesia untuk lesbian. Walau ramai lelaki cuba menguratnya tidak dipandang sebelah mata langsung apatah lagi mahu dilayan lebih-lebih. Sherry buah hatinya paling disayangi, juga cantik orangnya. Ada juga lelaki yang mahu menghampirinya mengundang cemburu dihati pernah bertindak berani membelasah lelaki dengan tali pinggang setengah mati. Sampaikan ada juga yang bila terserempak Azreen di sekolah berterabur lari.
 
Tamat sekolah menengah, mereka tidak sambung belajar terus bekerja dan tinggal serumah menjalani kehidupan songsang seperti suami isteri hampir lima tahun. Kedua-dua keluarga dapat menghidu perhubungan intim mereka, Sherry dipaksa berkahwin. Azreen kecewa hidupnya kosong. Selepas Sherry berkahwin, keduanya terputus hubungan. Sherry hilang entah ke mana, langsung tidak dapat dihubungi. Hidup Azreen tiba-tiba kosong lantas dia mengambil keputusan untuk kembali ke pangkal jalan. Dia berjanji mahu berubah berpakaian seperti wanita, rambutnya dibela panjang dan memasang niat mahu berkahwin dengan harapan mahu cuba menyintai lelaki. “Kahwinlah nak… sampai bila kamu nak hidup macam ni. Walau kamu pakai macam jantan, rasa diri macam jantan tapi kamu tetap perempuan. Jangan dilawan fitrah Tuhan,” terngiang-ngiang kata ibunya lantas menguatkan lagi semangatnya untuk berkahwin.
 
Ibunya bertemu dengan teman lamanya, Datuk Razali sudah bergelar jutawan dari Pantai Timur. Kebetulan sudah lama menduda. Atas permintaan ibu selain dia sendiri ingin berubah ke arah kebaikan, Azreen akhirnya dijodohkan dengan jutawan itu. Malah ibu mana tak rasa bangga bila anak tunggalnya walau kahwin lewat tapi sudah pegang title Datin.
 
Niat untuk kembali berubah jadi wanita sejati, bagai tiada erti lagi. Kerana setiap kali dia bersama Sherry, naluri lelakinya dipenuhi walau kehendaknya sebagai isteri tidak dapat dipenuhi. Setelah setahun Azreen hidup makan hati, akhirnya dia memenuhi hajat naluri yang meluap-luap mahu kembali jadi seperti dulu. Menemui Sherry setiap malam, kadangkala Azreen menangis seorang diri dan berdoa kerana kecewa dengan hidupnya, “Kenapa dugaan ini yang Tuhan berikan kepada aku, aku mahu berubah jadi wanita solehah tetapi dapat suami macam ini pula. Adakah adil untuk aku terima semua ini sedangkan niat hati mahu berubah,” Azreen berdoa tidak putus. Benarlah kata Sherry, Tuhan akan uji dengan apa yang kita benci dan tidak akan duga dengan apa yang kita sukai. “Aku benci lelaki tetapi lepas berubah aku juga ditakdirkan bertemu dengan lelaki yang sama mengecewakan. Bahagiakah aku kalau aku terus pura-pura okey dengan sandiwara ini?
 
Suatu hari Azreen nekad mahu berubah kembali jadi dirinya yang asal-seperti sebelum kahwin dulu. Rambut ikal panjang dan lebar mahu dipotongnya, Azreen pergi ke sebuah salon di pinggir kota dengan harapan dia tidak akan bertembung dengan sesiapa yang mengenalinya. Life full of surprises. Di sana Azreen bertemu Sherry yang kini sudah jadi tauke salon yang sudah beroperasi sejak tiga tahun lalu, yang sememangnya menjadi kegemaran sosialit Kuala Lumpur. Pertemuan yang agak janggal berubah mesra apabila keduanya mula bersembang kisah-kisah lama. Azreen meminta Sherry memotong rambutnya pendek ala Agyness Deyn. Seloroh Sherry sambil tertawa, “You ni memang tidak pernah berubah! But since you insist…” Sambil Sherry mencapai gunting, Azreen memandang Sherry atas bawah. Detik hatinya, bekas kekasihnya itu juga tidak banyak berubah. Cantik sama seperti dulu walau sudah beranak lima. Wangian yang digunakan masih sama seperti dulu, inilah bau yang lama dirindui dahulu. Semenjak itu, mereka kembali terjalin. Dari sekadar teman lama, akhirnya berubah menjadi hubungan terlarang.
 
Datuk Razali terkejut melihat Azreen pulang berambut pendek, menyarung skinny jeans, berkemeja dan berkasut Oxford. Kerisauan tiba-tiba menghantui kepalanya kerana Razali seperti sudah berasakan ada perubahan pada isterinya. Seperti biasa, perkataan yang keluar dari mulut Razali pastinya menyakitkan hati. “Hei, you dah nak jadi macam lelaki balik? Hodoh sungguh bila perempuan berpakaian macam jantan!” Itukah perkataan selayaknya keluar dari mulut lelaki bernama suami, lancang sekali! “Jangan salahkan aku kalau aku jadi pengkid balik,” kata Azreen dalam hati.
 
Bila Datuk Razali di sisi, dialah isteri. Tetapi bila suami ke luar negeri, dia jadi lelaki. Azreen gunakan waktu sebaiknya bersama Sherry, insan yang membangkitkan nafsu songsangnya. Rindunya dia pada Sherry tidak terhingga, badan masih bergetah walaupun sudah beranak lima. You make me happy.
 
Tiba-tiba Sherry yang dihimpit rasa bersalah, terus bingkas bangun dari katil. “Stop it… enough! Kita tak boleh ulangi kesilapan lama. Itu cerita 20 tahun dulu. Baik kita lupakan saja. If you try to touch me again, I’ll leave!” tegas Sherry. Bila dirahu dengan kucupan manja, Sherry akhirnya akur dan mengalah. Dia juga turut sama tidak dapat melawan gelora perasaan.
 
Sebaik pulang dari luar negara, Datuk Razali makin dapat menghidu perubahan mendadak isterinya. Setiap kali dia menghubungi isterinya, Sherry menjawab. Sesekali Razali akan menyindir isterinya atas niat supaya Azreen tidak buat perangai sama seperti waktu di sekolahnya dulu.
 
Suatu hari Datuk Razali cuba buat serangan hendap. Tengah hari dia pulang ke rumah terkejut beruk dia melihat Azreen dan Sherry sedang mandi bersama dalam jakuzi bilik tidur mereka, tanpa seurat benang. Apalagi, terjadilah drama. “Aku geli! Apalah nak jadi dengan dunia ni? Silap aku jugak ambil tomboy jadi bini, sekarang memakan diri sendiri. Aku ceraikan kau, aku ceraikan kau!” marah Razali sudah tidak terkawal. “Bagus! Itulah yang I nak dari you sebenarnya. Tak sanggup lagi I nak menengok muka you hari-hari- orang tua tak sedar diri, mulut jahat, perangai busuk, mati pucuk , you mati pun lagi baik!” jawab Azreen yang tiba-tiba tidak tahu datang dari mana beraninya itu. Kerana terlalu geram, suami bengis di depannya dilihat sepertikan sekecil kuman. “Kau memang isteri derhaka!” herdik Datuk Razali. “Kau pula laki mulut puaka! Selama ini aku sabar saja dengan apa yang keluar dari mulut kau, semuanya macam api membakar hati. Sekarang ni aku nak jadi lelaki ke, nak jadi apa ke- apa kau peduli!” Azreen membalas dengan keras. Dalam tidak sedar, Azreen menghayun kakinya pantas mengena perut Razali sampaikan dia jatuh tersandar di dinding. Sherry yang menjadi saksi pergelutan suami isteri, meleraikan pergaduhan itu dan membawa Azreen jauh-jauh agar tidak bertambah parah.
 
Sejak insiden itu, kecoh sungguh gosip ini di kalangan sosialit juga menjadi bahan sembang para suami di padang-padang golf. Azreen diceraikan kerana dia lesbian. Biasalah lelaki bila bercerai silap isteri sahaja yang nampak, tetapi si suami pernahkah memikir hak isteri? Memang Azreen banyak salahnya, tetapi tidakkah tanggungjawab terletak di tangan suami untuk membimbing isterinya ke jalan yang sepatutnya?
 
Semenjak insiden itu juga, Azreen menyedari dia bengkak sebelah kaki. “Itulah you, berani sepak suami memanglah sekarang kaki dah bengkak. Dulu syurga kita terletak di bawah kaki ibu tapi bila kahwin, syurganya di bawah kaki suami pula,” kata Sherry cuba mengingatkan sambil mengurut-urut kaki Azreen. Tetapi hati Azreen rasa lega, bagaikan melepaskan batu di atas kepala. Dia kini solo dan akhirnya  bebas untuk menjadi dirinya sendiri. Penat hidup menjadi hipokrit, katanya.
 
Sekarang Azreen sudah second-hand, Sherry pula sudah menyandang title baru isteri ‘dual band’. Peraturan yang dipersetujui bersama, hujung minggu waktu Sherry harus seratus peratus bersama keluarga. Di hari bekerja, awal pagi Sherry akan sediakan sarapan pagi anak-anak dan suami, bertemu Azreen pula cuma di waktu tengahari. Di saat matahari rambang itulah saat keduanya melampiaskan nafsu songsang mereka dan malam hari, Sherry terpaksa Azreen lepaskan bagi melayan batin si suami pula.
 
Sekarang sudah beberapa tahun Azree dibuang keluarga sendiri yang terlalu kecewa menanggung malu dan Azreen terus-menerus bergelumang dengan kehidupan songsang yang tiada berkesudahan. Gelora perasaan seperti air pasang surut sampaikan hubungannya dengan Sherry pun asyik on off, sekejap baik, sekejap bergaduh. Berpisah sekejap, kemudian berbaik balik. Ini membuatkan kehidupannya terumbang-ambing dibelenggu keresahan. Setiap hari  Azreen memohon doa semoga diberikan petunjuk untuk kembali ke jalan taubat. Niat di hati mahu ke Mekah kerana Azreen tidak mahu lagi hidup di makan sumpah. Tinggi harapan Azreen ingin menunaikan umrah, mengharapkan dia akan kembali berubah. Yang tinggal kini cuma doa, rasa redha dan terus berserah.
 
*Artikel ini disiarkan dalam GLAM edisi Jun 2011

See also
#OOTD Kuala Lumpur Fashion Week 2017 Day 3!