Korner Mak Datin: Datin Hilang Harga Diri Galak Menayang Aib Sendiri

Korner Mak Datin

Korner Mak Datin: Datin Hilang Harga Diri Galak Menayang Aib Sendiri

90

datin3 mono NOISE
 
Seperti yang diceritakan kepada Anna Freda
 
Akhir-akhir ini saya agak sibuk dengan rutin harian di rumah. Maklum sajalah anak sulung saya baru mula bersekolah darjah satu. Seluruh tumpuan diberikan kerana anak itu jarang berenggang dengan kami. Datuk Seri pula sibuknya sangat melampau kerana itu semua aktiviti sosial terpaksa ditangguh. Takkan mahu mengabaikan keluarga demi mengejar glamor. Ikutkan hati siapa tak mahu mengikut Datin Zalea dan teman-teman lain bercuti di Eropah. Padahal mereka baru pulang dari Lombok.
 
Akhir-akhir ini saya perasan Datin Zalea aktif sungguh ke sana ke mari dengan entourage tanpa suaminya Datuk Fikri. Tetapi saya tak pernah buruk sangka mengenai hubungan mereka, enggan jaga tepi kain orang. Sehinggalah saya bertembung dengan Lara yang baru menyandang gelaran datin. Suaminya dianugerahkan pangkat itu sebulan lalu. Tetapi Lara… Maksud saya Datin Lara sudah lama bergaul dengan kami.
 
Kami bertembung di Cempaka International School dan melanjutkan pertemuan di Restoran Alexis, The
Gardens. Saya memang rancang hendak hirup secangkir kopi hari ini. Mujur ada teman sebab nanti dilihat canggung sendirian. Saya lebih ringkas atas bawah menyarung Diane Von Furstenberg. Stuart Weitzman Justso tetap jadi sepatu pilihan di samping tas jenama Tod’s.
 
Saya mengerling Datin Lara yang semakin bergaya. Almaklumlah mendapat gelaran baru, semangat pun baru. Usai membuat pesanan, kami menyambung bicara. Ada kisah disampaikan Datin Lara yang menarik minat saya. Bicara itu perlu disambung segera.
 
“Mana you tahu?” soal saya kurang sabar seraya menanggalkan kaca mata hitam Tom Ford di atas meja. “I pun lupa. Tapi semua orang dah tahulah. Mungkin cerita ni tak sampai ke telinga Datin Seri sebab Datin Zalea sahabat baik you.” “Macam tu pula.” Keluh saya penuh sesalan. Sebelum bertanya secara langsung kepada empunya badan, saya perlu mengetahui lebih lanjut kisah ini. Rupa-rupanya banyak perkara keciciran kerana kesibukan saya menguruskan hal rumah tangga. “Datuk Fikri sedang asyik bermadu asmara dengan pelakon baru lagi cantik. Itu yang Datin Zalea tak lekat di Malaysia. Sentiasa ditemani orang kanan, orang kirinya ke sana ke mari,” terang Datin Lara.
 
Tetapi mungkin itu sekadar khabar angin sahaja. Jika benarlah, betapa rasa bersalah menebal dalam diri saya kerana telah mengabaikan seorang sahabat. Banyak kali menolak, Datin Zalea tidak lagi mengundangnya ke destinasi mereka pergi. Tahu-tahu dah ada gambar dimuat turun dalam laman sosial mereka. Saya tak kisah sangat tidak dipelawa cuma akhir-akhir ini gambar Datin Zalea tidak bertapis lagi. Kira berani mati membenarkan rakan-rakannya memuat turun gambar seumpamanya.
 
Hush, hush, semua kelompok sosialit enggan ambil tahu perihal Datin Zalea namun gambar terbarunya itu mengundang bualan ramai. Jadi sebab itu kah Datin Zalea pasang badan sekarang?
 
Pulang dari pertemuan dengan Datin Lara, saya mula melihat semua laman sosial kami ada. Ternyata lain benar perangai Datin Zalea terutama kehidupan sosialnya. Pakaian menjolok mata bukan jadi hal. Lokasi santainya juga masih di tempat biasa. Cuma yang tidak enak dilihat adalah cara dia mengambil gambar dengan aksi memberahikan di samping gelas minuman keras di tangan.
 
Selama ini gambar begitu akan menjadi tatapan sendiri sahaja. Saya menyelak lagi gambar-gambar lain. Hmm, ada teman baru masuk di dalam kumpulan entourage Datin Zalea. Biar benar kerana mata saya kini sedang memandang tubuh Tash di sebelah Datin. Budak Tash yang dahulunya mereka paling hendak jauhi.
 
Setahu saya, selain gadis itu suka mengambil kesempatan di atas kemewahan orang lain, dia juga banyak menipu orang. Bukankah Molly si anak hartawan itu sendiri sudah terkena. Isk, mengapa pula Datin Zalea mendekati parasit seperti itu? Hari tu dia yang bersungguh-sungguh boikot gadis itu.
 
Kini saya pasti dari mana pengaruh negatif baru Datin Zalea. Tidak mungkin dari Nuri sepupunya yang merangkap pembantu peribadinya itu. Bukan juga Ben yang lemah lembut itu. Ataupun Zura, teman seangkatan Datin sejak menyertai ratu cantik dulu. Mereka itu saya kenal sangat, takkan menggalakkan Datin Zalea membuat onar.
 
Saya perlu membuat risikan lebih lagi. Sebelah malamnya saya menunggu suami pulang dengan penuh sabar. Walaupun dalam hati gelodak rasanya berbeza. Saya tunggu Datuk Seri Hakim makan malam, membersihkan diri dan berehat. Ketika membawa kopi panas di meja bacaan barulah saya menyuarakan hasrat di hati.
 
“Dear, I bimbang fasal Zalea.” “Hah, kenapa pula dengan dia? Fikri tak beritahu apa-apa pun?” berkerut dahi Datuk Seri Hakim. “Datuk Fikri ada orang barukah?”
 
Ketawa besar suami saya mendengar soalan saya itu. Hm, entah-entah cuba coverline. Jangan-jangan dia pun dua kali lima. Geram pula mendengar tawanya itu. Ah, lelaki bukan boleh dipercayai terutama mereka lelaki berpangkat, berstatus dan berpengaruh.
 
Berita sama bertandang lagi ke telinga saya. Kali ini daripada Molly dengan bahan buktinya sekali. Buntang mata saya melihat gambar yang cukup peribadi itu. Memang Datuk Fikri dengan pelakon genit itu. Apa lagi perang besar saya dengan suami. Bagus sangat nak sorokkan skandal sahabatnya itu.
 
“Tak usahlah kita nak bertengkar kerana masalah orang. bukan nak menangkan Fikri. Tapi tak suka masuk campur. I tahu apa dalam fikiran you. I bukan seperti Fikri okey.”
 
Lelaki! Saya percaya dengan suami tetapi tidak meletakkan harapan tinggi menggunung takut kelak terluka seperti dialami Datin Zalea yang berkesudahan menagih perhatian menerusi gambar-gambarnya. Bak kata Molly, Datin Zalea tidak sepatutnya membenarkan gambarnya dimuat turun sewenang-wenangnya. “Dah tak nampak kelas!”
 
Spekulasi dibuat orang macam-macam. Ada yang beranggapan Datin yang suruh budak-budak ni memuat turun gambar demi menunjuknunjuk. Ada pula kata Datin Zalea tak tahu pun gambar tak senonohnya kini bersepah-sepah di laman sosial. Alahai, entahlah! Tetapi risikonya, orang akan mengumpul gambar-gambar itu untuk dijadikan bahan kutukan. Buruknya kelak adalah kami golongan sosialit kerana mendapat tempias kerenah Mak Datin seperti Datin Zalea.
 
Setelah Datin Zalea pulang saya sempat bertemu mata dengannya. Dia tampak riang namun luka di dalam entah bagaimana rupanya. Datin Zalea terlalu mengikut kata hati. Membenarkan emosi menguasai diri. Cuba merawat luka dengan berpesta sana sini. Kemudian mendengar pula nasihat dari orang tidak bertauliah, memuat turun gambar-gambar panas. Kononnya dia menjalani hidup paling meriangkan.
 
Hendak berpisah takut segala kemewahan ditarik balik. Lalu dibiarkan suami berbuat sesuka hati. Gaya hidup mewah ditayang pada khalayak. Terutama bagi menghakis kata-kata kurang enak khalayak sosialit mengenai kecurangan suami. Takut sangat dikata diri sudah tua lalu suami berpaling pada gadis muda lagi bergetah. Sebab itu juga dia mula pasang badan.
 
Saya tak nafikan tubuh Datin Zalea masih cantik. Masakan tak cantik. Seorang bekas ratu cantik biarpun sudah punya anak, dalam tempoh singkat sahaja lemak-lemak semua hilang. Entah ke mana perginya, bertuahlah badan. Namun saya kurang bersetuju dengan percaturan Datin Zalea. Dia patut lebih matang menanganinya.
 
Satu hal saya tak berkenan cara dia menunjuk-nunjuk kemewahan diri seolah-olah dunia takkan kiamat. Seperti sudah lupa dahulu dia asalnya bukan orang senang sangat. Kemudian sanggup memilih wang ringgit dari memelihara jiwa terluka.
 
Datuk Fikri pun satu hal, sanggup membeli isteri agar menutup mulut di atas kecurangannya. Menabur wang kepada Datin Zalea membawa seluruh hulubalangnya menjadi peneman. Ke mana sahaja, apa sahaja, semuanya ditanggung beres. Begitukah kebahagiaan yang didambakan?
 
Begitupun salah saya juga kerana membiarkan seorang sahabat terabai lalu terpedaya dengan budak seperti Tash. Saya takkan biarkan nama baik ahli sosialit tercemar. Semua golongan Mak Datin bukan sahaja dipandang serong, malah tidak lagi dihormati. Perkara ini harus diperbetulkan segera.
 
Saya juga faham niat sebenar Datin Zalea yang mahu berlawan dengan pelakon itu. Tak banyak, walaupun sedikit pasti ada rasa membara dalam diri. Cemburu dengan suami yang lebih memberi masa pada yang di sana. Orang sedang kemaruklah katakan.
 
Hmm, beginikah berakhirnya nasib kebanyakan isteri-isteri ahli korporat atau lelaki kelas atasan? Suatu saat suami jadi jemu lalu mencari yang lain lebih bergetah. Tinggal isteri yang seolah-olah separuh gila mahu mencuri perhatian suami. Mahu tampak lebih menonjol di kalangan sosialit juga.
 
“I malu sebenarnya,” akui Datin Zalea akhirnya secara jujurnya. Saya memberi pendapat sebagai seorang sahabat yang jarang kami dapat kerana kebanyakan orang sekeliling hanya tahu mengampu. Saya kata, rawatlah jiwa dari menyakitkan diri sebegini. Apa dilakukannya itu lebih mencemar maruah diri kerana orang sekeliling memandang dia Datin murahan. Saya benar-benar harap Datin Zalea menerima nasihat saya itu dengan hati terbuka.
 
Saya mula membahagi-bahagikan masa di antara keluarga dan sahabat baik. Bukan sekadar mahu membersihkan nama Datin Zalea tetapi enggan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Sebagai orang paling dekat dengannya, telinga ini sakit mendengar ejekan orang ramai. Laman blog gosip juga hebah memperkatakan mengenai penampilan baru Datin Zalea. Gambar itu juga dilakar pada bahagian-bahagian tertentu dengan kata-kata mempersenda.
 
Datin Zalea menangis kering air mata kerana malu besar. Kesal benar hatinya kerana terlalu mengikut kata hati. Dia tahu dia kini kalah pada pelakon picisan itu. Itu gelaran diberikannya-Picisan. Tetapi keadaan semakin tak terkawal apabila pergaduhan meletus. Perang twitter melanda dua personaliti ini. Pihak media pula mula mensensasikan keadaan itu.
 
Laura Ahmad @princesslaura
Happy.. Happy.. Terima kasih sayang.
Azalea Omar @azalea_o
Happy ambil hak orang. Oh so not classy.
Laura Ahmad @princesslaura
Scaryyy… Ada orang melatah. Half naked is not so classy.
Azalea Omar @azalea_o
Jangan sampai I nampak. Baru tahu classy ke tak…
Laura Ahmad @princesslaura
Kasihan. Hahaha…
 
“You tengok ni? Berani dia.” Marah benar Datin Zalea. Saya cuba meredakan perbalahan itu. Mungkin kata-kata itu bukan ditujukan buatnya. Tetapi sangat jelas saya tiada alasan lagi.
 
“Boleh tak you tak payah layan. Sudah-sudahlah,” pujuk saya. Tetapi sayangnya Datin Zalea sudah terlanjur mengaibkan diri sendiri. Sedar tak sedar perang twitter ini berlanjutan jadi sarkas media. Ada juga temu ramah di televisyen saling mengata. Kiranya keadaan tak terkawal lagi.
 
Saya kesal Datin Zalea diam-diam masih berkawan dengan Tash. Malah dia sangat mendengar nasihat daripada Tash. Sudahnya saya angkat kaki. Bukan tidak ambil berat tetapi itu adalah jalan pilihannya sendiri. Saya dan Molly sekadar memerhati dari kejauhan.
 
Ternyata mereka sedang menikmati kegemilangan hidup. Kalau tak ke luar negara, mereka berpesta di Kuala Lumpur sahaja. Gaya hidup mewah masih dipaparkan dalam laman sosial. Kata Molly, mesti Datin Zalea yang suruh gambar itu dimuat turun. Bagi saya semua aturan itu dibuat Tash.
 
Sayang seribu kali sayang. Seorang wanita pintar bekas model yang dahulunya dipandang tinggi kini dipersenda-sendakan khalayak. Semua gara-gara salah memilih teman bergaul. Sudah itu pilihan sendiri, tiada siapa mampu menghalang lagi. Semoga dia akan tersedar sendiri.

 

Your email address will not be published. Required fields are marked *