Korner Mak Datin: Apabila Sang Hipokrit Berselindung Di Sebalik Hijabnya.

Korner Mak Datin: Apabila Sang Hipokrit Berselindung Di Sebalik Hijabnya.

DatinX___2-page-001
 
*Seperti yang diceritakan kepada Nurul Syuhada
 
Jiwa Datin Liyana sedang bergelodak kencang. Habis disumpah seranah jirannya. Sudah tak tahan gamaknya dengan kerenah orang sebelahnya yang tak sudah-sudah cari pasal. “I dah lama bersabar tau! Ikutkan hati, nak saja I pergi serang dia sekarang!” ujar Liyana menahan kemarahan. Sambut teman pendengar, “Jangan! Ikutkan hati, mati! You jangan layan perempuan tu… if you melayan, that means you’re as low as her!” Pandailah si kawan itu memujuk.
 
Datin Liyana seorang wanita moden. Dari gaya rambut pageboynya sahaja kita sudah dapat meneka. Liyana suka pakai sut tweed Chanel, suka jinjing sebesar-besar beg Birkin, suka menyarung kitten heels Roger Vivier. Satu hal mengenai Liyana, dia juga kerap bertukar-tukar jam tangan mewah yang komplikasinya pelik-pelik. Entah dia faham ke tidak maksud komplikasinya itu, tiada siapa tahu. Tapi pernah Noraini mengakui, it’s the best icebreaker.
 
Gaya Liyana lain macam persis wanita korporat. Walhalnya, dia tidak berkerja, cuma gemar bersosial saja. Dia suka bila orang menggelarnya sosialite (dikalangan kawan-kawan di Jakarta, sosialitas!) atau lady-of-leisure. Pantang sekali kalau disebut surirumah. Mulalah dia akan merepek mengenai persatuan kebajikan yang dianggotainya walaupun rasanya hanya pernah sekali saja pun dia buat majlis keramaian merai usaha amalnya itu. Itu hanya sebilangan dari shortcomings Liyana. Namun hatinya sangat baik, suka membantu tapi kuat mengalah malah senang sangatlah kena tipu.
 
Tapi fokus kisah hari ini bukanlah Datin Liyana, tetapi jiran sebelah rumahnya. Segalanya bermula sejak Liyana mulai berpindah ke neighbourhood yang kononnya sangat posh itu. Dia menjadi bahan bualan ramai waktu berpindah masuk memandangkan dia (yang asalnya janda) diambil sebagai isteri oleh seorang hartawan yang dikatakan sanggup menceraikan isteri pertama hanya kerana mahu berkahwin dengan Liyana. Jiran sekeliling yang sudah lama mengenali bekas isteri Datuk, berasa teramat simpati. Tapi apa nak buat… terpaksalah juga berpindah keluar demi memberi ruang kepada mem besar baru.
 
Jiran yang paling rapat dengan bekas isteri Datuk, tentulah Puan Noraini, jiran sebelah. Wanita separuh abad yang bertubuh gempal, bertudung litup. Mukanya putih bersih, cakapnya pun manis-manis saja. Walau hatinya sebenarnya hitam, menyimpan dendam. Lebih tiga bulan selepas Liyana berpindah masuk, barulah dia muncul menghulur salam perkenalan. Perbualan singkat bertukar mesra. Liyana mempelawanya masuk ke dalam rumah. Noraini meneliti susunan perhiasan rumah dan mendapati masih ada barang lama milik bekas isteri. Noraini dengan sinis menegur isteri baru Datuk.
 
“Kita kena jaga hati sesama perempuan. Jangan ambil harta orang. Itu hak dia. Tak baik.” Sambil berdiri di tengah rumah, Noraini mula menunding jari, “Sofa ni… kabinet tepi tu… semua ni kan Datin yang punya? Ha, this Persian carpetI ingat lagi Datin beli di Istanbul, entah berapa ratus ribu I dah tak ingat. Kasi lah balik. Pulangkan haknya… cukuplah awak ambil suaminya saja.” Suasana janggal itu membuatkan Liyana tersentak namun dia hanya mampu senyum. Walaupun perasaannya sedikit sebanyak terguris, dia masih mempelawa Noraini ke dapur untuk menjamah kuih yang baru digoreng pembantu rumahnya.
 
Liyana menganggap, episod tempoh hari tidak pernah berlaku. Dia masih menyapa jiran sebelahnya tanpa ada rasa marah. Kerana dia faham yang situasinya sebagai isteri baru Datuk pasti menimbulkan rasa kurang senang dikalangan teman-teman baik bekas isteri. Noraini yang menjalankan kerja sambilan dengan menjual pakej-pakej percutian, pernah memujuk Liyana supaya memberinya peluang untuk mengatur jadual percutiannya yang akan datang. Oleh kerana dia mahu mengambil hati jiran barunya itu, Liyana pun bersetuju walaupun kerja mudah itu boleh saja dilakukan oleh setiausaha Datuk. Selambak duit dimasukkan ke akaun Noraini. Seminggu sebelum Liyana dan Datuk dijangka berangkat, tarikh yang dipersetujui tiba-tiba bertukar dan mereka terpaksa tinggal di hotel lain, bukan seperti yang dijanjikan. Disebabkan oleh pertukaran tarikh, Datuk tidak dapat turut serta atas alasan pertembungan jadual kerja. Terpaksalah Liyana bercuti seorang diri. Nasib dia ada kakak yang tinggal di destinasi yang sepatutnya mereka suami isteri pergi bersama. Ada juga alasannya untuk pergi melawat keluarga. Tak adalah sakit hati sangat.
 
Namun apabila dikira-kira balik, Liyana baru perasan yang Noraini sebenarnya berhutang balik kepadanya dalam jumlah yang agak banyak. Jika Noraini benar-benar jujur, sudah lama dia memulangkan balik lebihan bayaran. Liyana menelefon jiran sebelahnya, bertanyakan ‘bakinya’. Noraini berdalih-dalih. Minggu seterusnya, Liyana menyapa dari tepi pagar rumah dan bertanya lagi. Lagi sekali, Noraini memberi seribu satu alasan. “Cukup. I pula yang dah segan nak minta. Biarlah… no big deal,” kata Liyana yang tidak mahu memanjangkan cerita. Dia sanggup hilang duit dari putus kawan. Liyana juga mendapat tahu dari sumber yang boleh dipercayai, Puan Noraini tidak begitu jujur dalam berniaga. Sudah beberapa orang kena tipu, bukan saja kerana pakej percutian tapi juga dalam hal jual beli kereta mewah. Ramai dah terkena, tetapi mengenangkan suaminya dikalangan orang terhormat, banyak yang kasi ‘settle’ di belakang.
 
Jika orang tak tahu, pasti ramai yang ingat umur Datin Liyana baru nak masuk 30. Padahalnya usianya sudah masuk awal 40-an. Ini kerana Liyana amat menitik beratkan penjagaan kecantikannya, atau mungkin lebih tepat lagi, dia sebenarnya tersangat obses untuk terus nampak muda. Segala jenis produk bagus terbaru dia akan beli, setiap treatment untuk facial dan body yang paling mahal pun dia sanggup bayar. Liyana juga tidak pernah berselindung mengenai ketagihan botoks dan menyuntik fillers. Tetapi raut jelita semula jadinya tidak memerlukan Liyana untuk membuat sebarang pembedahan plastik. Namun kepada yang dengki, benda yang tak ada pun akan dikatakan ada.
 
Habis satu taman Noraini menghebahkan cerita mengenai muka ‘buat’ Liyana. Dikatanya Liyana ini sebelum kahwin Datuk, hidungnya asalnya kemek. Bila tiba-tiba jadi Datin, terus diubahnya jadi mancung. Muka semula jadi Liyana sebenarnya kononnya bulat, sekarang nampak panjang bila ditajamkan dagu. Terdetik perasaan kurang senang dalam hati Liyana bila jiran tetangga merenungnya lain macam. Sampailah suatu ketika, kejadian berlaku sewaktu Liyana sedang groceries shopping di market berdekatan rumah. Seorang makcik yang tak sayang mulut datang menyapa di hadapan cashier counter tanpa rasa berdosa. “Dear, how much did you pay for your nose? Berdosa ubah kejadian Tuhan. Tapi… hurmm, not bad lah. But can be better!” Muka Liyana merah padam. Tapi dia masih sempat bertanya pada makcik itu tentang siapa yang menyebarkan cerita. Seperti yang dijangka, orangnya Puan Noraini. Liyana langsung tidak terkejut.
 
Rupa-rupanya, bukan setakat itu sahaja. Liyana juga menjadi bahan cacian geng Noraini hanya kerana dia tidak menutup rambutnya. “Padanlah dia beria-ria minta I beli tudung-tudung yang dijualnya. Oh, ada maksud lain yang tersirat rupanya!” Nak kata Liyana seksi, tak juga. Tak pernah berbaju tanpa lengan, tak pernah berskirt. Tapi kerana meluatkan isteri baru Datuk, satu taman menghukum Liyana seteruk-teruknya. Jadilah Liyana kera sumbang di taman perumahan elit itu. Inilah hakikat dunia zaman sekarang. Lagi kaya, lagi bengap. Patutlah dikatakan yang harta benda itulah yang sebenarnya dikatakan ujian hebat dan bukannya nikmat!
 
“Padanlah semenjak kebelakangan ni, orang asyik stare I. Tengok I macam freakshow. I pelik juga, apa entah yang semua orang tengok kat I ni. Ada bahagian baju yang terkoyak ke? Atau muka I yang tak bersiap ke? But now I know lah!” Liyana mengambil keputusan untuk tidak ambil pusing. Kalau asyik difikirkan, mahu jadi gila dibuatnya. Sebab tak mungkin dia mampu betulkan statement palsu Noraini pada jiran-jiran setaman. Takkan lah nak buat press conference pulak kan? “Sabar sajalah wahai hati. Sudahlah kena tipu duit, sekarang dia sebar cerita kata I buat muka. Tidak apa… in the end, the truth will prevail!” Liyana memujuk diri sendiri agar bersabar.
 
Anak Liyana dari perkahwinan pertama yang masih bersekolah, kebetulan belajar dalam sama kelas dengan beberapa anak jiran setaman. Satu hari, anaknya pulang dengan muka monyok. Dia memberitahu ibunya fasal apa yang kawan-kawan sekelas bercerita mengenainya. “Mummy, their moms told them that you’re a bad person. Lazy,  sit at home all day, do nothing. They said you’re a homewrecker and a gold digger… are you, Mummy?” Banyak ayat-ayat pedas meluncur keluar dari mulut anaknya. Liyana geram dalam sedih. Tak pasal-pasal anaknya menjadi bahan ejekan budak-budak sekolah. Paling Liyana marah adalah apabila anaknya diberitahu yang ibunya menduakan suami kerana ada teman lelaki lain di luar dan memegang tiket ke neraka di atas segala dosanya.
 
Semalaman Liyana tidak dapat melelapkan mata. Mudah sungguh manusia menghukum, seperti orang yang berkenaan sudah hampir pasti yang syurga itu miliknya. Kekecewaan Liyana bertambah-tambah apabila dia mendapat tahu yang dia juga menjadi topik perbualan hangat dalam media sosial dikalangan jiran-jirannya. Barulah Liyana sedar yang kebanyakan status yang berbaur sindiran pedas, rupa-rupanya memang ditujukan kepadanya. Macam-macam panggilan yang mereka beri padanya, dan banyak lagi fitnah yang tak munasabah ditaburkan oleh Noraini. Bahasa yang digunakan tidak begitu manis, memang tak serupa dengan rupa si polan yang mengata. Di usia senja, kalau kepala saja tutup memang tak cukup. Mulut pun kena jaga, takut nanti perkara yang dicerca terkena balik pada batang hidung sendiri pula. Liyana jenuh berfikir hingga ke pagi, apa tindakan yang harus diambil seterusnya. Biarkan dia dan anaknya menjadi bahan tomahan? Oh, tidak sekali. Setelah sekian lama berdiam diri, Liyana tahu sudah sampai masa untuk dia berbunyi.
 
Awal pagi Liyana sudah bangun bersemangat. Datuk outstation. Liyana capai telefon dan terus menelefon suaminya yang waktu itu sedang berada di London. Dia meminta Datuk dapatkan khidmat guaman atas kes penipuan oleh Puan Noraini. Pada mulanya Datuk enggan. Katanya, mengapa harus berperang sesama jiran. Lagi pun, dia sendiri sudah berpuluh tahun mengenali Puan Noraini malah agak rapat dengan suaminya. Almaklum tinggal berjiran. “Menang atau kalah, I tak kisah. I dah nekad. Please sayang?” Setelah hampir sejam dipujuk rayu melalui talian telefon, Datuk masih enggan melayani permintaan isterinya. Jelas Datuk, usia bukan muda lagi untuk kita menambah musuh. “Jangan nak berperangai seperti budak-budak. Buat apa nak gaduh-gaduh? Beralah sajalah. Biarkan orang sebelah nak buat apa pun. Nor tu dah bercucu pun. Lambat-laun dia sedar sendiri nanti.”
 
Entah apa yang difikirkan suaminya. Mendahului orang lain dari kepentingan isteri sendiri. “Kalau you tak nak tolong I, I usaha cara lain!” tegas Liyana separa menjerit sebelum menutup perbualan telefon dengan suami. Kata Liyana pada diri sendiri, kalau si tua bangka sebelah rumah tu boleh lancar menaip status berapi menghebahkan kisahnya di media sosial, dia juga boleh buat perkara sama. Malah lebih lagi. Suami Noraini mungkin orang yang dihormati. Tetapi jikalau isteri sudah buat onar melampau, seseorang mesti bertindak. Sampai bila nak biarkan orang ditipu? Kalau tidak boleh cara rasmi, kita guna cara orang muda. Liyana menghubungan anak saudaranya meminta pertolongan. Mahu tahu apa? Liyana minta kisah penipuan Noraini dihebahkan di alam maya. Media sosial sampai ke blog. Jadikan ia viral. Kalau ada yang nak buat troll, silakan. Kata Liyana, dia mahu satu dunia tahu yang Noraini adalah manusia paling hipokrit kerana berselindung di sebalik hijabnya. Sekarang bermulalah permainan yang sebenarnya.
 
 

See also
Korner Mak Datin: Kerana Dengki Hijabnya Dibuka