Korner Mak Datin: Apabila Kawan Berparti Tiba-Tiba Berubah Status Menjadi Ibu Tiri Sendiri

Korner Mak Datin: Apabila Kawan Berparti Tiba-Tiba Berubah Status Menjadi Ibu Tiri Sendiri

DatinX
 
*Seperti yang diceritakan kepada  Nurul Syuhada
 
Dengan tangan menggeletar menahan amarahnya, Huda bersama ibu dan adik-beradik lain, menanti kepulangan bapanya yang sudah lebih seminggu tidak balik akibat urusan di luar negara. Call tidak berangkat, SMS tidak berjawab. Jam di dinding sudah menunjukkan tengah malam. Barulah daun pintu terbuka, menampakkan kelibat bapanya yang jelas keletihan dari perjalanan yang panjang. Ibu nampaknya agak malas mahu berdrama lewat malam ini. Huda sudah kenal sangat ibunya. Hampir empat dekad mereka berkahwin, bapanya dari muda dikenali dengan mata keranjang. Ibu nampaknya sudah lali dan sudah tiada air mata lagi.
 
Bapa Huda, Datuk Johan khabarnya sudah berkahwin baru. Ini bukan asing buat Huda sekeluarga. Bapanya pernah berkahwin sampai empat suatu ketika dulu, Kahwin, cerai, kawin, cerai… yang masih lagi menangguk di air keruh, masih jugalah si isteri nombor satu. Namun perkahwinan terbaru ini membuatkan Huda tersentak. Mana mungkin dia boleh berdiam diri apabila ibu tiri barunya kawan sendiri! “Papa, are you sure? Papa tahu tak perangai Zara yang sebenarnya?” Huda mula mendesak dengan soalan bertubi-tubi.
 
Jawab Datuk Johan dengan tenang, “Cerita lama dia, Papa tak kisah. Tak perlu ungkit lagi. We’re in love.” Telinga Huda bertambah panas. Adik-beradik lain yang masih muda, kelihatan malas nak masuk campur. Mereka pun sudah sedia maklum dengan perangai Papa mereka, apalagi sibuk dengan kehidupan masing-masing yang mana dua masih di kolej manakala yang bongsu masih bersekolah.
 
Tambahnya lagi, “You all semua dah dewasa. Kenapa masih berperangai macam budak-budak lagi? Please grow up. In life, things happen and you must learn to accept it no matter how bad it sounds. Huda, sebagai kakak sulung, you should know better. Dah kahwin, dah beranak-pinak pun.” Datuk Johan berbicara separa memerli kepada puteri sulungnya yang paling tidak puas hati. Dan walau macam mana Huda mahu menyedarkan bapanya, nyata sekali dia tidak berjaya. Datuk Johan masuk ke kamar tidur malam itu tanpa ada rasa bersalah.
 
Huda dan Zara suatu masa dulu ibarat sekumpulan kawan perempuan yang amat rapat dan happening. Keduanya memang dikenali sebagai party girls… zaman anak daralah katakan. Sebut saja parti, memanglah muka dua orang ini ada di sana. Ligat berparti, ramai teman lelaki. Kalau mahu keluar malam, Zara bersama kawan-kawan lain akan bersiap bersama-sama terlebih dahulu di rumah Huda. Dari hujung rambut hingga ke hujung kaki, semuanya berjenama. Sudahlah cantik, bergaya pula. Ramailah jejaka yang mahu mendekati kedua-duanya. Tapi kalau lelaki dari golongan kebiasaan mendekati, ekor mata pun mereka tak pandang. No class… kononnya.
 
Dulu, Huda dan Zara memang banyak skandal. Tukar boyfriend seperti tukar baju. Teman lelaki pun bukan calang-calang orang. Walaupun begitu, Huda akur yang jodohnya sudah diputuskan oleh keluarga. Dia tahu dia bakal berkahwin dengan seseorang ini yang datang dari keluarga berpengaruh juga. Segalanya sudah dirancang elok dan Huda tidak menyanggah walau sikit pun. Siapa mahu menolak sebuah masa depan yang dipateri dengan janji kekayaan yang melata?
 
Sewaktu melangsungkan perkahwinannya, Zara antara dulang girls Huda; antara kawan rapat yang membantunya menguruskan hal perkawinan dari A hingga Z. Cuma selepas berumah tangga, Huda tidak lagi bertemu kawan-kawan partinya termasuklah Zara sekerap dulu. Tanggungjawab terhadap dua anak-anaknya yang masih kecil membuatkan Huda sudah tiada masa untuk bersosial, apatah lagi dia terpaksa berpindah ke Timur tanah air seketika mengikuti suami.
 
Zara pula lain ceritanya. Dia datang dari latar belakang keluarga sederhana. Namun kalau bersama kawan-kawan lain, gayanya tidak kalah kerana dia bijak ‘memerah’ teman-teman lelakinya untuk wang ringgit dan barangan berjenama. Bila semakin berusia, Zara mula pandai melobi untuk pelbagai jenis perniagaan. Untung betul apabila banyak perniagaannya menjadi walau asasnya datang dari transaksi yang sumbernya agak meragukan. Kata Huda, dia masih ingat lagi bagaimana Zara berjanji yang dia tidak akan sekali-kali hidup susah selama-lamanya. Dia akan pastikan dia berjaya menangkap ‘ikan besar’ yang akan mewah menyaranya hingga ke hari tua.
 
Bila Huda sudah berkahwin, Zara tiba-tiba hilang dari social scene kota. Kata orang, dia tengah deras buat business berskala antarabangsa. Sebab itu gambar-gambar Zara di laman sosial semedang menunjukkannya seakan ‘bercuti’ di luar negara. Ada teman lama yang menghubunginya, Zara dikatakan berdalih-dalih bila diaju soalan mengenai suami. Ini kerana ramai yang tahu dia bakal atau pun sudah pun melangsungkan perkahwinan. Dengan siapa, tiada yang tahu. Tapi kawan-kawannya memang nak sangat tahu memandangkan Zara dahulunya terkenal dengan sikapnya yang notorious nak mengorat lelaki kaya.
 
Suatu hari, telinga Huda berdesing apabila suatu khabar buruk hinggap ke pengetahuannya. Gosip yang melanda sekarang memberitahu yang bapanya, Datuk Johan sudah bernikah dengan kawannya sendiri, Zara! Patutlah dalam beberapa hari ini dia asyik menerima missed call dari kawan lamanya itu. Nasihat kawan lain, cuba angkat dan dengar apa dia nak kata. Mungkin ada perkara yang ingin dijelaskan. Tidak adil jika hanya mendengar cerita sebelah pihak sahaja. “What do you mean cerita sebelah pihak? There’s nothing to explain. Terang-terangan dia kahwin dengan my father. So, no! Takkan I nak ikut cakap perempuan yang once upon a time parti sama dengan I kat Changkat?” balas Huda sinis apabila diminta memenuhi permintaan Zara untuk berjumpa. “I tak boleh nak imagine lah… you and I kenal sangat siapa Zara tu. I geli bila teringat masa dia berskandal dengan macam-macam lelaki dulu… and now with my own dad? Oh dear, I tak sanggup!” Memanglah kata orang… teman untuk bersuka–ria memang ramai. Tapi wang ringgit juga yang berjaya mengaburi mata.
 
Huda betul-betul sakit hati apabila diberitahu yang Zara dan bapanya hanya mulai rapat sejak hari perkahwinannya. Dalam kesibukan membuat persiapan menjelang hari persandingan, Zara yang ketika itu kerap betandang ke kediaman keluarga Huda, sering kali cuba untuk mendekati Datuk Johan dengan mengajaknya berbual hingga larut malam. Kalau tidak diperkarangan luar rumah, diajaknya melepak di kafe-kafe, menikmati latte katanya. Usai majlis perkawinan Huda, Zara dikhabarkan selalu cari peluang baru untuk buat-buat ‘bertembung’ dengan Datuk Johan kerana cuba ‘melobi’ entah projek apa. Usahanya berhasil. Dari kawan, jadi kekasih. Cukup setahun, sudah dibuat bini. Oh, mudah sungguh bunyinya. Tapi bagi Huda, mengenai bekas kawan baiknya itu, it was no big deal. She’s made for it.
 
Macam-macam cara Huda cuba buat agar dia tidak bertembung dengan ibu tiri barunya itu. Namun akhirnya terperangkap juga bila mereka bersua muka di sebuah majlis tertutup. Tuan rumah lupa mengenai krisis keluarga Datuk Johan dan tak sudah-sudah meminta maaf kepada Huda. Huda pula sekadar buat muka kelat bila disapa Zara. Bila Zara datang duduk disebelahnya, dia bangun buat-buat nak pergi menegur tetamu lain. Tapi sampai bila dia mahu lari? Orang di sekeliling pun sudah tidak senang duduk melihat drama yang sedang berlaku di depan mata mereka. Zara buat macam tak faham dan terus usaha mahu berbual dengan Huda sepertikan tiada apa yang pernah berlaku di antara mereka. Itulah Zara. Muka tak malu. Tapi itu jugalah moto hidupnya. Sampai bila lah merempat kalau segan meminta-minta.
 
Zara juga nampaknya sudah mulai dress the part. Penampilannya tidak lagi segalak dulu yang mana baju pun seperti tak cukup kain. Sekarang makin elegan dan refined. Bertambah-tambahlah Huda meluat melihat bekas kawan baiknya itu. Dalam hatinya, entah sudah banyak manalah harta bapanya Zara sudah kikis. Melihatkan pakaiannya, beg yang dibawa, kereta yang dipandunya, tempat tinggal barunya… sudahlah begitu, asyik pergi melancong saja kerjanya. Kalau ditokok tambah semua itu, berjuta-juta gandanya. Sudahlah bapanya kahwin dengan kawannya sendiri, bukanlah perempuan elok-elok pula tu… dan harta keluarga makin menipis gara-gara cinta buta pada isteri muda? Huda pula yang seperti hilang akal dan nekad mahu membalas dendam, walau ibunya nampak seakan sudah redha.
 
Suatu hari Datuk Johan datang menerjah Huda di rumahnya. “Huda, you dah melampau! You tarik balik semua yang you dah buat sekarang. You’ve done so much damage and its affecting not just her, but my reputation!” Datuk Johan merujuk kepada gambar-gambar lama Zara yang dikirimkan Huda ke laman-laman sosial hingga kini menjadi viral. Foto-foto lama yang selayaknya dibakar saja. Penuh dengan lagak aksi memualkan di kelab malam, tangan kanan pegang rokok dan di kiri pegang gelas wain. Pakaian seakan bertelanjang, diapit pula dengan macam-macam lelaki. Sesiapa tengok pun akan terbeliak biji mata.
 
Ia bukan sahaja kembali memalukan Zara tetapi juga mengaibkan Datuk Johan yang juga individu terhormat. “Papa, Zara tu mana ada rasa malu! Kalau Papa tak nampak, at least the rest of the world should know who your new wife really is!” Inilah masalahnya dengan dunia internet hari ini. Bila sudah terlajak klik, mana boleh diperbetulkan kembali. Maka terpaksalah Datuk Johan menebalkan muka, bersabar. Tohmahan di belakangnya tidak pernah bersambut. Zara seperti Huda semakin tak keruan apabila strateginya tidak juga berjaya ‘menyedarkan’ bapanya.
 
Pada suatu majlis resepsi, sekali lagi Huda bertembung dengan Zara. Huda bersama suaminya, Zara bersama Papanya. Huda tak keruan. Dari kejauhan, dia merenung gelagat ‘pengantin baru’. Nampak gembira sungguh riak wajah Papanya memperkenalkan isteri mudanya kepada tetamu-tetamu lain. Ada ketikanya, perhatian orang sepertikan lebih tertumpu kepada isteri muda Datuk Johan dan bukan lagi pasangan mempelai di atas pentas persandingan. Mengenangkan Mama yang kurang sihat, sudah lama tidak keluar rumah; Huda jadi sebak. Sudah lama dia tak melihat kedua-dua ibu bapanya ke majls keramaian bersama dan berlagak seperti suami isteri lain yang bahagia. Ya, ada sesetengah perkara dalam hidup ini yang terpaksa dilepaskan. Just let it be.
 
Huda akhirnya sedar sendiri yang tiada apa sangat yang mampu dilakukan olehnya. Namun dia kasihan melihat ibunya yang bukan sahaja dimadukan tetapi turut bersabung nyawa melawan sakit. Diwaktu genting bila dia paling memerlukan, suami sendiri sibuk melayan perempuan lain. Bila cerita Datuk Johan kahwin baru, dia langsung tidak bersuara. Setitis air mata pun tak keluar. Kerana dia betul-betul redha. Ibu hanya memandang wajah Huda seperti meminta pengertian.
 
“Sayang, I’m done fighting.” Entah apa yang dimaksudkan oleh ibunya tapi dalam sungguh maksudnya. Tetapi buat pertama kalinya juga dalam masa beberapa bulan ini, Huda mulai mengecap ketenangan apabila dia cuba menerima hakikat yang cukup pahit ditelan. Dia cuba mencari kekuatan sebagaimana ibunya. Huda tahu yang dia perlu kuat untuk ibunya dan adik-beradik lain. Kepada Zara, enjoy it while it last. Kerana hubungan yang dibina di atas dasar selain dari cinta tidak mungkin akan kekal bahagia. Hanya masa yang akan menentukannya.
 
Life is funny. Walau macam mana pun kita rancang untuk yang terbaik, kita tetap tidak akan tahu apa yang menanti kita di depan. Kadang-kala kita diduga dengan sesuatu yang langsung tidak terjangka. Seperti Huda yang sekarang terpaksa menerima kehadiran ibu tiri baru yang juga bekas kawan baiknya. Lebih tepat lagi, kawan sekadar untuk masa bersuka-suka.
 
Cerita Huda, ibunya tidak pernah gemar kawan-kawannya dulu. Kata ibu, they are all toxic. Mereka bukan orang elok-elok dan tak layak dijadikan kawan. Awalnya Huda fikir ibunya terlalu mementingkan hirarki sosial keluarga hinggakan menegahnya berkawan rapat dengan teman-teman seperti Zara.
 
Namun setelah hampir sembilan tahun berlalu, barulah Huda faham apa yang dimaksudkan oleh ibunya. Siapa sangka kawan makan kawan dalam cara yang paling hina, apabila kawan itu menikahi bapanya sendiri!
 
 

See also
Ulang Tahun Keempat Tokyo Street Pavilion