Datin X: Status Suami Isteri Dalam Open Relationship

Datin X: Status Suami Isteri Dalam Open Relationship

Suatu pagi hujung minggu, sedang Datin X grocery shopping menolak troli melewati rak-rak Cold Storage, terserempak dengan teman lama. Datin S yang bukan sekadar isteri Datuk tapi dia juga turut disegani kerana mengepalai sebuah badan korporat. Dari jauh dia dah nampak Datin X dulu tapi biasalah, dia buat-buat tak perasan. Datin X sengaja ‘mengejarnya’ sebab nak menyapa dia dulu mengenangkan dia ni kurang mesra dan bolehlah dikatakan sombong juga orangnya. Small talk yang janggal seminit dua, Datin S gayanya macam dah tak sabar nak berlalu pergi.

Bila isteri punya kerjaya sendiri dan berjawatan besar, maka ramailah juga kenalan lelaki di luar sana. Suami zaman sekarang pula ramai yang sudah liberal dan tiada langsung rasa cemburu apabila isteri pulang lewat malam, keluar entertain klien dan dikelilingi dengan teman-teman niaga lelaki.

Datin S sebagai orang penting dalam dunia korporat, khabarnya sudah ‘tersangkut’ dengan Datuk M, seorang suami orang yang juga corporate figure terkenal. Mulanya, pasangan ini begitu berahsia mengenai hubungan sulit mereka, al-maklum masing-masing sudah berumah tangga. Selalu orang terserempak mereka makan tengah hari bersama, bila ditanya, jawab mereka mudah, ‘business lunch’. Tapi tembelang pecah jua akhirnya. Ramailah yang jadi kaki kepoh bertanyakan apalah agaknya reaksi si suami Datin S bila mengetahui isterinya ada spare tyre baru. Tapi ramai pelik bila Datuk berkenaan tenang saja gayanya. Malah mereka masih tinggal serumah, pergi bercuti ke luar negara satu keluarga, seperti tiada apa yang berlaku.

See also
Pippa Middleton Bakal Berkahwin

Paling pelik bin ajaib adalah apabila di suatu majlis makan malam, Datin S dan suami boleh duduk semeja dengan Datuk M, bersembang gelak ketawa bagaikan semuanya okey. Risik punya risik, Datin X dapat tahu yang Datin S serta suami sudah ada mutual understanding. Kahwin hampir 20 tahun, hubungan makin hambar jadi kedua-duanya bersetuju untuk mengadakan open relationship. Kedua-duanya bebas untuk memiliki hubungan dengan orang lain asalkan komitmen pada anak-anak tetap utuh. Maknanya suami sudah pun pasang girlfriend di luar dan Datin S sikit pun tak cemburu. Bertuah!

Lebih mengejutkan, anak-anak remaja mereka pun tahu hubungan terlarang kedua ibu bapa mereka dan mereka boleh menerimanya. Eh, apa nak jadi dengan budak-budak zaman moden ni? Inilah dia… Datin X rasa Datin S dan suami walau hebat mana pun reputasi perniagaan mereka, kedua-duanya jelas sekali gagal dalam mendidik anak-anak. Harap-harap anak-anak tersebut suatu hari nanti akan cukup bijak untuk menilai sendiri apa yang baik dan apa yang buruk dan tidak mengikut jejak langkah sesat ibu bapa mereka yang nampaknya makin tua makin menjadi.

See also
L’Oreal Foundation dan UNESCO Menjulang Saintis Wanita di Seluruh Dunia

Masyarakat kota sekarang nampaknya cukup mudah termakan dengan pengaruh gaya hidup yang terlalu kebaratan sampaikan mereka tak tahu nak bezakan antara dosa dan pahala. Cerita Datin S bukanlah sedahsyat mana jika dibandingkan dengan sebilangan kisah pasangan Melayu yang cukup berani bertukar-tukar pasangan hanya untuk memuaskan nafsu serakah masing-masing. Nak dicoretkan di halaman ini, rasanya Datin X sendiri pun rasa segan. Pergi ke majlis sebagai suami isteri, bila pulang dengan pasangan lain-lain tanpa segan silu. Kawan sekeliling pula hanya menepuk tangan tanda tabik pada ‘keberanian’ mereka. Eh, sudah terbalikkah dunia hari ini?

Kalau ya pun mabuk sampai tak sedarkan diri, takkanlah hingga bercengkerama dengan orang lain sampai ke ranjang? Datin X jijik sungguh dengan idea one night stand ni. Entah apa yang difikirkan oleh pasangan-pasangan moden hari ni. Mungkin mereka sanggup melihat pasangan masing-masing ‘curang’ di depan mata dari makan luar secara menyorok-nyorok langsung ditipu hidup-hidup. Inikah solusi terbaru kepada trend kepincangan rumah tangga hari ini? Open relationship dan dengan sukarela bertukar-tukar pasangan? Datin X gerun memikirkan betapa masyarakat kita kini sudah terlalu terbuka hingga boleh menerima budaya songsang sebegitu.

See also
#PillowChallenge: Anne Hathaway Paling Win

Dalam pada Datin X sibuk bercerita hal Datin S dan datin-datin yang tidak insaf walaupun sudah hampir senja, teringatlah pula kisah datin yang seorang ini, Datin A. Dia ni dulunya memang ligat, lebih kurang macam Datin S juga. Berkedudukan, memiliki syarikat sendiri dan bertukar-tukar pasangan. Suaminya tahu akan perangai Datin A ini, tapi biasalah masing-masing buat tidak tahu. Tapi, entah bagaiana, suatu hari alih-alih Datin X terdengar berita dia sudah pakai tudung dan panggil ustazah datang rumah. Rakan-rakan Datin X yang penyibuk pun mulalah merisik. Risik punya risik, taulah mereka, rupa-rupanya Datin A sudah insaf dan ingin kembali ke pangkal jalan. Katanya, setelah berfikir panjang dan bertemu seorang dua yang berpengetahuan agama, hatinya terbuka untuk memulakan kehidupan baru. Tapi, sayang suaminya masih sama, tak mahu berubah, malah mengugut ingin menceraikannya kerana sudah tidak ‘setara’. Apa nak buat, Datin A hanya mampu berserah dan berdoa sahaja!