Datin X: Isteri Rancang Kerjaya Politik

Datin X

Datin X: Isteri Rancang Kerjaya Politik

150

Teks Datin X

Semenjak dua menjak ini, Datin X banyak baca pasal gender equality. Ramai yang memperjuangkan ‘hak wanita’ agar sama rata dengan golongan Adam. Datin X tidak pasti di luar negara, tetapi kalau nak cerita dalam Malaysia, wanita sama sekali bukan golongan yang boleh diperlekehkan. Ramai wanita mempunyai kuasa, menduduki kerusi korporat dan menjawat jawatan besar dalam badan kerajaan. Nak kata kaum wanita di Malaysia kurang peluang atau didikan, Datin X memang tentang habis-habisan. Sebab dari pemerhatian Datin X, wanita-wanita Malaysia sebenarnya ramai yang pandai-pandai. Kalau baca di ruang komentar untuk isu-isu panas, yang perempuanlah paling galak melontar ‘pendapat’ dan mencipta provokasi. Mana ada segan silu lagi. Sesungguhnya tangan yang menhayun buaian itu, tangannya lebih cekap menaip komentar panas! Punya ramai wanita bijak pandai di Malaysia, boleh tahan ramai juga yang menjadi mastermind di sebalik kejayaan suami. Para isteri merancang langkah suami yang menurut bak boneka!

 

Behind every great man, there is a great woman. Sebagai wanita, Datin X memang sokong mutiara kata popular ini. Tapi dalam konteks yang berbeza pula, tidak semuanya positif. Ada juga wanita bijak yang merancang perjalanan kerjaya suami untuk kepentingan sendiri.

 

Dalam cerita Datin X bulan ni, ‘man’ yang dimaksudkan bukanlah ‘great’ sangat. Kerana Datin X kenal sangat lelaki ini. Nak harapkan kerjayanya yang suam-suam kuku dan ada muka elok sikit, Datin X tahu dia bukanlah lelaki bijak pandai. Dulu, megah betul dia menempel di acara-acara sosial. Kononnya most eligible bachelor lah… dan mungkin kerana segak rupa gayanya, dia berjaya pancing seorang businesswoman yang Datin X gelar Fara. Bercinta tak lama, tahu-tahu sudah kahwin. Ingat lagi sewaktu resepsinya, boleh tahan ramai KL’s who’s who turun walaupun lokasinya di luar Malaysia. Terima kasih kepada sang isteri yang memang banyak connection dengan orang penting-penting.

 

Pada awal perkahwinan, suami berkenaan kadang-kala kerja, kadang-kala tidak. Dia seakan sudah selesa menjadi house husband. Bila Fara ada business trip, suami dengan rela hati akan menjaga anak. Tapi Fara sendiri tidak sanggup menanggung malu bila makin ramai orang bertanya suami kerja apa. Keadaan Fara tidak ubah seperti menyara biawak hidup. Semua tahu yang isterinya memang kaki bisnes. Otak geliga pandai buat duit. Menyedari lelaki yang baru dikahwininya itu bakal menyelusuri zaman gelap (dek kerana kerjayanya sudah tidak laku lagi), Fara mula membuat perancangan baru buat suaminya. Muka handsome tapi tidak berguna pun, buat menyemak sahaja, betul tak? Lalu diajarnya suaminya itu untuk memanjat tangga sosial dengan sasaran, suaminya itu akan menjadi ahli politik suatu hari nanti.

 

Datin X rasa satu KL memang bercerita mengenai cita-cita besar Fara. Kalau dia tahu ada sesiapa menganjurkan majlis besar dengan barisan tetamu kehormat berkaitan, dia akan menelefon sendiri untuk meminta diundang. Kalau dia diundang sekali pun, kebiasaannya Fara akan menelefon terlebih dahulu untuk bertanyakan jikalau si polan dan si polan ini turut hadir sama. Fara dan suami hanya akan hadir jika individu-individu berkenaan hadir. Bukan Datin X saja, tapi ramai rasa jelik dengan cara Fara yang nampak terdesak.

 

Bak kata seorang teman, “You all kena faham… Fara ini jenis orang yang memilih kawan. Hanya friends with benefits okey… kalau you tiada kepentingan untuknya, jangan mimpi untuk bertegur sapa. Fara akan tengok you tembus seolah-olah you telus. Tapi bila dia dapat tahu you ada kabel besar, dia punya mesra, cakap macam bertih jagung tak berhenti, sampai naik rimas!” Dan kerana kebijaksanaan Fara meminta bantuan kenalan-kenalannya, suaminya kini sudah mampu duduk semeja dengan pembesar-pembesar negara, kongsi buah fikiran untuk projek-projek gergasi. Kalau benar begitu, Datin X harap suami Fara tidak dibiarkan mengemudi projek besar. Takut haru masyarakat nanti.

 

Orang seperti Faralah yang Datin X gelar sebagai parasit sosial. Ya, tiada salahnya untuk bercita-cita tinggi. Tetapi orang sebeginilah yang bertanggungjawab menjauhkan lagi jurang sosial dan mencipta kasta. Malah kerja-kerja amalnya juga membuatkan ramai berasa skeptikal. Jenuh dipujuk untuk turut serta. Syaratnya, seorang Datuk Seri tu wajib ada dalam jawatankuasa badan amal tersebut. “Kalau nama Datuk Seri tu tak ada, you ingat dia nak ke buat charity drive tu? Semua tu berlakon sajalah!”

 

Datin X bukan nak kata lelaki sekarang kurang bijak. Malahan, Datin X rasa mereka teramat bijak sebab pandai pilih pasangan yang otak geliga. Buat apa susah-susah hati fikir masa depan apabila sudah ada orang lain yang tolong fikirkan? Ada masalah? Isteri boleh tolong selesaikan. Mahu lobi untuk kedudukan dan pangkat? Usah risau, isteri boleh bantu. Panjat social ladder, pergi hi-tea dengan isteri-isteri orang penting kemudian cucuk jarum. Settle!

Your email address will not be published. Required fields are marked *