Datin X: Anak Lelaki Gilakan Wanita Tua - Glam Malaysia

Datin X: Anak Lelaki Gilakan Wanita Tua

DatinX--

Gambar: Arkib GLAM


 
Selalunya kita dengar kisah wanita tua yang menyimpan ‘anak ikan’ (lelaki muda). Tapi bagaimana pula jika cerita sebegini dilihat dari perspektif lelaki? Satu kes di mana seorang Datin dalam dilema apabila anak lelaki sulungnya dijadikan ‘anak ikan’ kepada seorang usahawan wanita. Baru-barunya dengar cerita, keduanya mahu membina masjid tapi mengundang tentangan daripada Datin tersebut. Mati-mati anaknya itu memberitahu yang memang dia betul-betul cintakan wanita itu. Bukan disebabkan buatan orang dan bukan disebabkan wang. Persepsi negatif sering dilemparkan kepada pasangan sebegini. Tapi jika niat keduanya ikhlas, apa salahnya kan?
 
Datin Mariam pening kepala mengenangkan Zul. Cita rasa anak lelakinya itu tidak seperti kebanyakan lelaki lain yang mendambakan gadis muda bergetah. “Saya pun tak fahamlah. Girlfriend Zul tak pernahnya yang muda atau seusia. Kalau terlajak tua dua tiga tahun pun tak apa lagi, saya boleh terima. Tapi kalau dah beza usia 15 tahun? Haih, macam mana ni Datin?” Datin Mariam mengeluh tak sudah. Sejak usia 20-an lagi, teman wanita anak lelakinya semuanya yang sudah berumur. Paling Datin Mariam tak dapat terima apabila salah seorang teman wanita yang pernah dibawa pulangnya hanya muda beberapa tahun sahaja daripada Datin Mariam. Layak dipanggil ibu!
 
Yang membuatkan Datin Mariam amat runsing kala ini adalah apabila Zul menyuarakan mahu berkahwin. Dengan siapa? Rupa-rupanya kasih lama bertaut kembali. Kalau Zul umurnya 32 tahun, wanita itu pula sudah menjangkau 47 tahun. Janda anak tiga. Datin Mariam awal-awal lagi menegah Zul daripada bertemu dengan wanita itu. Pelbagai horror stories dikhabarkan ke telinga anak lelaki kesayangannya itu mengenai kekurangan berkahwin dengan perempuan tua. Tapi menasihati Zul seperti tiada gunanya. Dia memang tak makan saman. Datin Mariam minta adik-beradik lain tolong nasihatkan si abang tapi semuanya tak mahu masuk campur.
 
Lagi pun Datin Mariam teringin mendukung cucu daripada Zul. “Buat apa susahkan diri jaga anak tiri? Tiga orang pula tu. Kau tu nak jaga diri sendiri pun tak tahu, masih telefon ibu kalau susah. Ini nak pikul tanggungjawab jaga anak orang?!” Seribu kali sayang kalau Zul melepaskan peluang untuk bergelar bapa hanya kerana cintanya kepada wanita tua. Banyak kali juga Zul cuba memujuk Datin Mariam yang anak-anak tirinya juga boleh diibaratkan cucu. Setiap kali Zul menuturkan kata-kata itu, Datin Mariam pasti melenting. “Anak orang asing dan cucu dari darah daging sendiri tak sama!”
 
Perbalahan dua beranak ini membawa kepada perang dingin yang tak berkesudahan. Sekarang Zul sudah merajuk membawa diri. Datin Mariam dalam keras hatinya, berasa gerun mengenangkan mana tahu anak lelaki sulungnya itu terus meninggalkannya pergi dan tak pulang lagi. Nasihat Datin X, “Apa kata cuba bertemu dulu dengan bakal menantu. Mana tahu orangnya baik budi dan mampu menambat hati bakal mertua? Daripada terus menerus keduanya membuat maksiat, biarlah hubungan mereka dihalalkan.” Datin Mariam langsung tidak menjawab. Hmm… memang senang mulut Datin X memberi nasihat. Kalau berada di tempatnya, entah apa yang Datin X akan lakukan. Nak menyambut menantu baru yang umurnya hampir seusia kita? Oh, tidak!

See also
GLAM Exposé: Mak Tiri Oh, Mak Tiri