Petua Tradisional Untuk Merawat Masalah Kulit - Glam Malaysia

Petua Tradisional Untuk Merawat Masalah Kulit

Oleh: Nur Sofea
 

ing_42097_00372

Gambar: INGimage


 
Ramai wanita yang sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan wajah yang licin dan sempurna. Selain daripada menggunakan produk kecantikan, anda juga boleh mencuba petua tradisional untuk mendapatkan wajah yang lebih sempurna. GLAM kongsikan beberapa petua untuk mengatasi masalah kulit.
 

Menyegarkan Kulit Wajah

Lebihan air teh semalam yang tidak habis diminum, jangan terus dibuang. Banyak kegunaannya.  Selain daripada dapat menyuburkan pokok, air teh semalaman juga boleh digunakan untuk mencuci muka bagi menyegarkan dan menegangkan lagi kulit muka.

 

Caranya mudah sahaja. Sebelum cuci wajah dengan sabun, basuhkan dengan air lebihan teh tersebut. Biarkan selama 10 hingga 15 minit. Kemudian, bilas dengan air bersih. Lakukan setiap pagi.

 

Kulit Berminyak

Daun sirih dan daun jambu batu ini boleh membantu menghilangkan minyak di kulit wajah dan seterusnya menghilangkan jerawat.

 

Ramas daun sirih dan daun jambu batu di dalam semangkuk air. Sapukan air itu kepada kulit wajah dan biarkan selama lima minit. Kemudian bilas dengan air bersih. Lap lembut wajah dengan tuala. Amalkan selalu pada bahagian kulit wajah yang berminyak.

See also
Millennial It-Girl: Naddy Rahman

 

Menghilangkan Bintik-Bintik Hitam

Daun mambu boleh membantu menghilangkan bintik hitam pada sel-sel kulit yang sudah mati. Ia juga baik untuk merawat penyakit campak dan kudis kering.

 

Rendamkan daun mambu, beras dan kunyit hidup (ditumbuk hingga halus). Sapukan rendaman tadi pada seluruh wajah dan juga badan. Lakukan rawatan ini dua kali sehari sehingga kulit kelihatan licin dan sihat.

 

Serikan kulit wajah Wajah

Ada dua petua yang boleh diamalkan. Petua pertama adalah sebaik sahaja wajah dicuci, ambil tuala panas dan layangkan pada wajah serta biarkan selama seminit. Kemudian bilas dengan air bersih. Amalkan sebanyak tiga kali sehari.

 
Petua kedua pula sangat popular dan sesuai buat semua peringkat umur. Anda boleh gunakan bedak sejuk untuk membantu mengembalikan seri wajah.  Seeloknya, sapukan bedak sejuk ini pada wajah di sebelah malam sebelum tidur dan biarkan sehingga esok pagi.
 

Licinkan Kulit Wajah

Kekalkan kulit bersih serta licin dengan menggunakan beras. Fungsi beras ini sama seperti bedak sejuk. Bertindak sebagai pupur, ia mampu melicinkan serta mencantikkan lagi kulit wajah.

See also
Haruman Kuasa Pemikat

 

Caranya mudah, dengan membasuh beras dan direndam selama beberapa jam, kemudian digiling bersama kunyit hidup. Sapukan campuran beras dengan kunyit pada seluruh wajah.

 

Hilangkan Kotoran Pada Kulit Wajah

Tahukah anda, jus limau bertindak sebagai bahan penyegar? Ya, fungsi lainnya juga adalah untuk menghilangkan saki-baki kotoran yang masih tertinggal di kulit walaupun setelah mencuci wajah.

 

Perahkan limau dan tapis airnya. Ambil kapas dan serapkan beberapa titik air limau. Sapukan pada seluruh muka. Lakukan setiap hari.