GLAM Fashion Future 2016 Raikan Pereka Fesyen Lokal - Glam Malaysia

GLAM Fashion Future 2016 Raikan Pereka Fesyen Lokal

[soliloquy id=”51560″]

GLAM Fashion Future 2016 yang berlangsung semalam buat tahun kedua menampilkan lima pereka tempatan iaitu Ana Abu, Shals, Arared, JN by Jiuan Ng, Kree bersama seorang pereka fesyen antarabangsa dari Indonesia, Sapto Djojokartiko. Antara tetamu yang hadir termasuklah Diana Danielle, Kim Raymond, Afzan Shakira, Amber Chia, Tengku Syahmi dan Izara Aishah.

Misi Fashion Future masih tetap sama iaitu untuk memeriahkan lagi gelanggang fesyen tempatan dengan menyediakan platform buat pereka tanah air mempamerkan nilai kreativiti masing-masing sambil memperkenalkan mereka kepada generasi baru. GLAM Fashion Future tahun ini juga dijayakan hasil kerjasama MINI Malaysia, Andrewsmodel, Zebra Square, NARS, Schwarzkopf Professional Malaysia, Ritz Carlton Kuala Lumpur dan Scent Maker Fragrance.

Acara semalam dimulakan dengan persembahan bertenaga dari Najwa Mahiaddin diikuti peragaan koleksi dari Sapto yang memukau tetamu menerusi koleksinya yang berinspirasikan tamadun Yunani-Mesir purba bermotifkan corak batik “Srikuncara” dan “Buket Pakis”.

Seterusnya, Ana Abu memperagakan koleksi minimalis beliau yang dinamakan “The Pocket Issue” yang menampilkan mainan warna kelabu, putih dan coklat selain rekaannya yang androgynous.

Arared pula tampil memberikan aura feminin apabila koleksi pastelnya disuntik perincian mewah sementara Kree memperagakan rekaan yang romantik dan anggun.

See also
Status Hubungan Juliana Evans Kini Bukan Lagi Classified Information

GLAM Fashion Future 2016 yang dihoskan oleh Sazzy Falak ini turut memperkenalkan Jiuan Ng, pereka fashion yang berdiri disebalik jenama JN. Koleksi timeless beliau yang dikhaskan buat wanita akan menjadikan si pemakai kelihatan sofistikated walaupun  koleksi tersebut diilhamkan dari pakaian lelaki.

Shals pula menawan hati para tetamu dengan koleksi klasik dan elegan yang dinamakan “Dusk to Dawn”. Koleksi ini mencerminkan citarasa dan pendirian Shalma Ainaa dan Shalmanisa yang menjadi tunggak disebalik jenama ini.

Secara keseluruhannya, GLAM Fashion Future tahun ini sekali lagi berjaya mengetengahkan dan meraikan pereka fesyen tempatan yang berbakat dan perlu diberi perhatian oleh industri fesyen negara.

Oleh: Lylatul Qadrina